VIDEO PESTA RUMBIA 2018

KUALA PENYU: Pesta Rumbia merupakan khazanah peninggalan nenek moyang yang harus dipertahan serta dipelihara agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Safie Haji Apdal dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, pesta berkenaan mampu menjadi produk kelestarian untuk menarik pelancong dalam dan luar negara.
Shafie berkata kedudukan Kuala Penyu yang mempunyai Pulau Tiga, Tasik Sitompok, Pantai Sawangan dan pesisir pantai yang indah dan bersih serta kehidupan flora dan fauna perlu dimajukan dan di eksplotasi sepenuhnya dalam mempelbagai produk pelancongan sedia ada.
Bagaimanapun tambahnya, pengeksploitasian produk pelancongan perlulah berasaskan sumber alam semulajadi agar seimbang dan mampan demi kelestarian pemeliharaan alam sekitar.
Justeru, beliau berharap pihak swasta turut terlibat dalam pembangunan dan usaha mempromosikan produk pelancongan berasaskan rumbia bagi membantu melonjakkan lagi potensi pelancongan dan ekonomi negeri ini.
Dalam pada itu, Junz ketika ditanya mengenai pusat pengumpulan produk berasaskan rumbia akan diwujudkan di Kuala Penyu pada masa terdekat beliau menyatakan peruntukan RM500 akan dibiayai sama ada menerusi peruntukan khas Jabatan Ketua Menteri atau kementerian beliau.
Pusat tersebut bakal menjadi pusat sehenti bagi semua produk berasaskan rumbia yang dihasilkan rakyat negeri ini khususnya Kuala Penyu dan Menumbok.
Mengenai jeti baru Ko-Nelayan yang akan mengantikan jeti yang terbengkalai, beliau menjelaskan tempat telah dikenal pasti di kawasan seluas 2 ekar di persisir pantai Kuala Penyu.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Adun Kuala Penyu, Datuk Limus Jury gembira dengan pewujudan kedua-dua kemudahan itu yang berupaya melonjakkan lagi potensi ekonomi Kuala Penyu.
Pada majlis tersebut, Junz menyampaikan bantuan kepada 88 penerima yang terdiri dari Orang Kurang Upaya (OKU), Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Yayasan Pendidikan Limus Jury.




